Wednesday, August 25, 2010

Saat kelahiran 15 Ramadhan...


15 Ramadhan...mana mungkin untuk saya melupakan tarikh ini,menjelang zohor lahirlah putera sulung kami yang ditunggu-tunggu seisi keluarga.

Muhammad Hasif 'Ulwan, nama yang diberi gabungan idea umi dan abi.Masih segar lagi saat kali pertama umi melihat adik yang masih berlumuran darah,lantas umi qamatkan di telinga kiri dan kanan sebelum sempat adik didengarkan dengan selain daripada kalimah suci Allah tatkala menjengah dunia buat pertama kalinya.

Subhanallah...Maha Suci Engkau Ya Allah...
Dari alam rahim dia membesar,masih dapat terasa setiap tendangan,kocakan,hirutan perut umi tatkala dia bergerak-gerak di dalam itu.Satu perasaan yang tiada tandingan anugerah buat para ibu.

Segala perit jerih ketika melahirkannya hilang ditiup angin tatkala melihat dia lahir dengan sempurna sifatnya.Syukur Ya Allah...atas kurniaan ini

Masih umi ingat lagi tanggal 14 Ramadhan yang lepas, seusai opah di kampung selesai menghabiskan 30 juzuk alquran bersama kawan-kawan tadarusnya,saat itu kesakitan untuk bersalin mula terasa.

Petang itu selepas solat Jumaat maklong yang juga seorang doktor menghantar umi ke Hospital Ipoh untuk membuat pemeriksaan.Tiada lagi bukaan namun berdasarkan CTG, sela masa kesakitan agak rapat sekitar 10 minit,maka umi ditahan terus ke dalam wad.Menghampiri ke waktu berbuka puasa segala urusan pemeriksaan selesai,dan untuk malam itu umi tinggal berseorangan di wad.Abi pada malam itu bergegas pulang ke kampung untuk menemani umi.

Malam itu sehinggga ke pukul 3 pagi,umi tidak boleh tidur dek kerana kesakitan yang kerap kali terasa.Umi berjalan mundar mandir untuk menghilang rasa kesakitan itu.Kerap kali juga berulang ke bilik air kerana rasa tidak selesa.

Akibat sakit yang bersangatan,umi pergi mencari nurse yang bertugas malam itu.Setelah melakukan pemeriksaan,bukaaan sudah mencecah 5cm,umi terus diingatkan untuk menyediakan kelengkapan bayi untuk dibawa ke labour room.Umi diusung ke sana dalam pukul 4 pagi.

Bermula detik itu pelbagai pemeriksaan,Doktor dan nurse yang bertukar-tukar tugas melihat keadaan umi.Air ketuban mula dipecahkan dan ksakitan itu kini telah semakin kerap namun umi gagahkan juga menghadapinya.Abi,opah dan maklong sampai di Hospital selepas subuh.

Abi dibenarkan masuk untuk melihat umi.Umi genggam tangan abi tiap kali sakit mula terasa.Umi dibekalkan dengan oksigen untuk menahan rasa sakit.Namun rasanya seperti tiada kesan dan hanya mengah yang umi dapat setiap kali menyedutnya.

Abi hampir pitam melihat keadaan umi ketika itu.Maklong nasihatkan abi untuk rehat dulu di luar,mungkin kerana tidak cukup tidur pada malam sebelum itu.

Menjengah ke jam 10 pagi,bukaan baru 7cm.Atas nasihat maklong yang mungkin tidak tahan melihat kesakitan umi,dia mencadangkan umi mengambil suntikan epidural.Umi tika ini hanya serahkan kepada maklong untuk buat apa yang patut dilakukan.

Kawan umi di Taayah dulu rupanya yang akan masukkan suntikan itu ke tulang belakang umi.Terasa malu kerana bersua dalam keadaan yang tidak keruan seperti ini,namun umi bersyukur pasti dia juga akan melakukan yang terbaik untuk umi.

Alhamdulillah,selepas suntikan itu baru terasa lega dan sakit itu makin beransur-ansur hilang.Umi seperti lali tapi masih boleh mendengar keadaan sekeliling

Setelah bukaan mencecah 10cm,Doktor dan nurse memberitahu umi untuk bersedia bersalin.Abi masuk ke dalam bilik itu menemani dan memberi semangat kepada umi.Dalam keadaan separuh sedar umi mengumpul seluruh tenaga untuk melahirkan orang yang ditunggu selama ini.

Alhamdulillah menjelang zohor 15 Ramadhan lahirlah bayi comel buah hati umi dan abi.Setelah segalanya disempurnakan,abi datang mengazankan adik, terasa sayu saat itu.Sejurus itu umi dan adik diusung ke dalam wad sambil menyusukan adik buat pertama kalinya.Ya Allah bahagianya ketika itu.Opah,Atuk,maklong,paklong,k.anim dengan k.kauthar turut ada menyambut kedatangan orang baru.

Umi dan adik ditempatkan di wad biasa selama sehari sebelum pulang ke rumah.Setelah habis waktu melawat,tinggal umi menguruskan adik seorang diri.Mujur ada nurse yang membantu dan mengajar umi menguruskan adik.Mereka kata adik ni baik budaknya,tak banyak ragam.Memang umi syukur sangat kerana adik seakan tahu umi masih lemah,dan hanya beberapa kali bangun untuk menyusu dan menukar lampin.Malam itu banyak sms2 tahniah yang umi terima dari kawan-kawan umi.

Syukur Ya Allah...Moga mampu untuk kami mencorakkan anak ini sebaiknya menjadi anak yang soleh insyaAllah..

Dan kini bayi comel tersebut sudah menganjak ke usia setahun dalam kalender islam.

Tuesday, August 17, 2010

Ramadhan datang lagi

Sudah sekian lama rasanya tidah menjengah ke blog ini,mencoret sesuatu yang bisa menjadi ingatan..Kesibukan menghabiskan tesis secepat mungkin,ditambah kelas tutorial yang kini diberi tanggungjawab untukku uruskan, agak membataskan masa untukku mencoret sekadarnya..

Masa terus berlalu...dan kini Ramadhan tiba lagi.Setahun yang lepas,saat ini aku sedang berdebar-debar menanti kelahiran putera sulung kami.Bulan Ramadhan dibatasi dengan pergerakan yang kian membatas dek perut yang semakin membesar.Namun aku gagahkan jua untuk menyempurnakan ibadah puasa,bersolat terawih serta bertadarus bersama suami hinggalah ke saat kelahiran anak kami pada Zuhur 15 Ramadhan yang lepas.Alhamdulillah Ya Allah...Engkau berikanku kesempatan itu untuk mengisi sebaik mungkin.

Dan kini Ramadhan yang penuh mulia itu datang lagi menawarkan ganjaran yang lumayan buat hamba yang mengisinya dengan ibadah dan amalan kebajikan.Namun kali ini aku diuji dengan anak yang sedang membesar menyebabkan keterbatasan masaku untuk mengisi bulan ini sebaik mungkin.Memang itu sewajarnya tidak boleh dijadikan alasan..namun Ya Allah,aku pohon kekuatan dan waktu untukku diberi peluang mempersembahkan diri kepadaMu..

Penat,lapar,dahaga,mengantuk sering kali menguji diri ini sepanjang tempoh tarbiyah Ramadhan kali ini.Masakan tidak, penat di kampus dibawa pulang ke rumah.Rehat hanya untuk seketika waktu.Akur dengan tanggungjawab, aku perlu menguruskan juadah berbuka puasa seadanya untuk kami sekeluarga, menguruskan si kecil yang tidak mahu berlekang,menguruskan rumah yang kekadang tidak sempat diurus di awal pagi sehinggalah sering terjelepok kepenatan selepas berbuka puasa.Ya Allah...keadaanku sama sahaja dengan para isteri yang lain,berilah kekuatan kepada kami menguruskan rumahtangga,dalam masa yang sama diberi kesempatan untuk duduk bersamaMu.Jangan lekakan kami Ya Allah dengan perkara yang tidak sepatutnya...

Puasa kali ini tidak berkesempatan untuk berterawih berjemaah di surau atau masjid dek kerana waktu solat itu si kecil mula meminta mendodoikannya untuk tidur.Untuk memujuk diri tatkala merasakan diri ini kosong tanpa ibadah,aku akur dengan Hadith Nabi 'solat wanita lebih afdal di rumah berbanding di masjid'. Mungkin sudah menjadi kebiasaan sebelum ini,maka solat di masjid bagi wanita di bulan Ramdhan sudah menjadi satu adat.Namun aku bersyukur Ya Allah...masih ada ruang-ruang untukku menghabiskan waktu denganMu walaupun hanya seketika.

Aku mengharungi ibadah puasa kali ini dengan serba kekalutan.Mujur adanya suami yang sering mengerti keadaan kami sekelurga.Segaalanya dibuat dalam penuh kesederhanaan "Terima kasih abang..."

"Ya Allah...terimalah ibadatku.Sesungguhnya solatku,ibadatku,hidup dan matiku hanya untukMU.."