Tuesday, October 5, 2010

2 Tahun Melayar Bahtera


3 Oktober 2010...genap 2 tahun usia perkahwinan kami.Terasa sekejap masa berlalu.Dan kini hidup bertambah ceria dengan hadirnya cahayamata kami di sisi.

Abang...
2 tahun sudah bergelar isteri kepada abang
2 tahun sudah bergelar ummi kepada anak abang
2 tahun sudah berkongsi hidup dengan abang
2 tahun sudah menempuh susah dan senang bersama abang
2 tahun sudah segalanya hanya untuk abang

Di usia 2 tahun ini,terasa banyak kekurangan pada diri.Abang sendiri sudah mengerti.
Kekurangan itu menjadi buah cinta untuk kita saling menerima dan menutupi.Di hati isteri,suamilah lelaki paling sempurna anugerah Ilahi.

Tatkala lafaz nikah terbit dari kalam suami,maka kepadanyalah menghambakan diri buat mencari cinta sejati.

Ya Allah..Engkau yang menguasai hati.Tambatkanlah hati kami untuk saling menyayangi dan mengasihi hanya keranaMu.Jangan kau uji kesetiaan kami Ya Allah..kerana setiaku hanya untuk dirinya.

Biar apa jua rintangan dan onak berduri,walaupun pedih hati ini tatkala disakiti,cintaku hanya untuk dirinya bergelar suami.

"Selamat Ulangtahun Perkahwinan abang..."

Monday, September 6, 2010

Selamat ulangtahun yang pertama sayang...


Semalam genap setahun usia anak umi sorang ni.Kesian disambut dalam keadaan yang kurang sihat dan tak sedap badan.Macam tu lah kehidupan kita,ada kadangkalanya susah,senang sedih dan gembira..semuanya silih berganti.Umi nak anak umi tahu walau macam manapun keadaan,umi dan abi akan sentiasa ada disisi adik dengan izin Allah.

Anak umi yang umi sayang... Sekejap saja setahun berlalu.Terasa baru semalam umi melihat adik yang baru dilahirkan berada di pangkuan umi.Menyusukan adik,mandikan adik,menenangkan adik,menghiburkan adik,menidurkan adik...semua tu sudah menjadi rutin umi sejak setahun yang lalu.

Penat,letih,mengantuk semua keadaan itu sudah lali dalam diri umi.Tambahan adanya abi yang sentiasa membantu umi menguruskan adik terasa kurang sedikit beban.Adik tahu,menjadi kepuasan untuk umi bila melihat adik membesar sihat sempurna depan mata umi dan abi.Gelak tawa adik bersama abi dan umi sungguh membahagiakan dan umi tunggu setiap hari.

Umi nak berkongsi sesuatu untuk adik tanda ingatan buat adik selamanya.Saat adik minta disusukan,kaki dan tangan adik tidak pernah duduk diam.Adik usap muka umi dan main tangan umi.Kaki pula tak henti-henti kuis-kuis atas ribaan umi.Sama juga tatkala adik minta umi dodoikan tidur,pasti adik tarik tangan umi untuk tepuk-tepuk di penjuru mata adik.

Tatkala umi sibuk untuk masak di dapur,pasti adik pun turut mahu ikut serta.Segala sudu garpu,mangkuk dan besen umi berikan kepada adik untuk bermain sendirian.Mungkin suatu hari nanti adik nak jadi chef kot..atau dah besar nanti boleh umi harapkan tolong di dapur.

Saat umi bermain dengan adik,macam-macam aksi dan gaya umi lakonkan untuk gembirakan adik.Kadang-kadang jadi kuda,kadang-kadang jadi kucing...semuanya hanya untuk senyuman dan hilaian tawa adik yang sentiasa umi rindukan.

Susah untuk adik berenggang dengan umi.Ke mana sahaja umi pergi,pasti adik akan mencari.Bangun tidur umilah yang pertama adik cari.Begitulah suatu hari nanti umi harap adik tidak akan melupakan umi dan abi.

Umi doakan adik menjadi anak yang soleh,taat pada Allah,hormat orang tua dan faqih dalam agama.Adik harta abi dan umi yang tidak ternilai...moga terus bersinar sebagai permata hati umiabi.

Selamat Hari Lahir Sayang...

Wednesday, August 25, 2010

Saat kelahiran 15 Ramadhan...


15 Ramadhan...mana mungkin untuk saya melupakan tarikh ini,menjelang zohor lahirlah putera sulung kami yang ditunggu-tunggu seisi keluarga.

Muhammad Hasif 'Ulwan, nama yang diberi gabungan idea umi dan abi.Masih segar lagi saat kali pertama umi melihat adik yang masih berlumuran darah,lantas umi qamatkan di telinga kiri dan kanan sebelum sempat adik didengarkan dengan selain daripada kalimah suci Allah tatkala menjengah dunia buat pertama kalinya.

Subhanallah...Maha Suci Engkau Ya Allah...
Dari alam rahim dia membesar,masih dapat terasa setiap tendangan,kocakan,hirutan perut umi tatkala dia bergerak-gerak di dalam itu.Satu perasaan yang tiada tandingan anugerah buat para ibu.

Segala perit jerih ketika melahirkannya hilang ditiup angin tatkala melihat dia lahir dengan sempurna sifatnya.Syukur Ya Allah...atas kurniaan ini

Masih umi ingat lagi tanggal 14 Ramadhan yang lepas, seusai opah di kampung selesai menghabiskan 30 juzuk alquran bersama kawan-kawan tadarusnya,saat itu kesakitan untuk bersalin mula terasa.

Petang itu selepas solat Jumaat maklong yang juga seorang doktor menghantar umi ke Hospital Ipoh untuk membuat pemeriksaan.Tiada lagi bukaan namun berdasarkan CTG, sela masa kesakitan agak rapat sekitar 10 minit,maka umi ditahan terus ke dalam wad.Menghampiri ke waktu berbuka puasa segala urusan pemeriksaan selesai,dan untuk malam itu umi tinggal berseorangan di wad.Abi pada malam itu bergegas pulang ke kampung untuk menemani umi.

Malam itu sehinggga ke pukul 3 pagi,umi tidak boleh tidur dek kerana kesakitan yang kerap kali terasa.Umi berjalan mundar mandir untuk menghilang rasa kesakitan itu.Kerap kali juga berulang ke bilik air kerana rasa tidak selesa.

Akibat sakit yang bersangatan,umi pergi mencari nurse yang bertugas malam itu.Setelah melakukan pemeriksaan,bukaaan sudah mencecah 5cm,umi terus diingatkan untuk menyediakan kelengkapan bayi untuk dibawa ke labour room.Umi diusung ke sana dalam pukul 4 pagi.

Bermula detik itu pelbagai pemeriksaan,Doktor dan nurse yang bertukar-tukar tugas melihat keadaan umi.Air ketuban mula dipecahkan dan ksakitan itu kini telah semakin kerap namun umi gagahkan juga menghadapinya.Abi,opah dan maklong sampai di Hospital selepas subuh.

Abi dibenarkan masuk untuk melihat umi.Umi genggam tangan abi tiap kali sakit mula terasa.Umi dibekalkan dengan oksigen untuk menahan rasa sakit.Namun rasanya seperti tiada kesan dan hanya mengah yang umi dapat setiap kali menyedutnya.

Abi hampir pitam melihat keadaan umi ketika itu.Maklong nasihatkan abi untuk rehat dulu di luar,mungkin kerana tidak cukup tidur pada malam sebelum itu.

Menjengah ke jam 10 pagi,bukaan baru 7cm.Atas nasihat maklong yang mungkin tidak tahan melihat kesakitan umi,dia mencadangkan umi mengambil suntikan epidural.Umi tika ini hanya serahkan kepada maklong untuk buat apa yang patut dilakukan.

Kawan umi di Taayah dulu rupanya yang akan masukkan suntikan itu ke tulang belakang umi.Terasa malu kerana bersua dalam keadaan yang tidak keruan seperti ini,namun umi bersyukur pasti dia juga akan melakukan yang terbaik untuk umi.

Alhamdulillah,selepas suntikan itu baru terasa lega dan sakit itu makin beransur-ansur hilang.Umi seperti lali tapi masih boleh mendengar keadaan sekeliling

Setelah bukaan mencecah 10cm,Doktor dan nurse memberitahu umi untuk bersedia bersalin.Abi masuk ke dalam bilik itu menemani dan memberi semangat kepada umi.Dalam keadaan separuh sedar umi mengumpul seluruh tenaga untuk melahirkan orang yang ditunggu selama ini.

Alhamdulillah menjelang zohor 15 Ramadhan lahirlah bayi comel buah hati umi dan abi.Setelah segalanya disempurnakan,abi datang mengazankan adik, terasa sayu saat itu.Sejurus itu umi dan adik diusung ke dalam wad sambil menyusukan adik buat pertama kalinya.Ya Allah bahagianya ketika itu.Opah,Atuk,maklong,paklong,k.anim dengan k.kauthar turut ada menyambut kedatangan orang baru.

Umi dan adik ditempatkan di wad biasa selama sehari sebelum pulang ke rumah.Setelah habis waktu melawat,tinggal umi menguruskan adik seorang diri.Mujur ada nurse yang membantu dan mengajar umi menguruskan adik.Mereka kata adik ni baik budaknya,tak banyak ragam.Memang umi syukur sangat kerana adik seakan tahu umi masih lemah,dan hanya beberapa kali bangun untuk menyusu dan menukar lampin.Malam itu banyak sms2 tahniah yang umi terima dari kawan-kawan umi.

Syukur Ya Allah...Moga mampu untuk kami mencorakkan anak ini sebaiknya menjadi anak yang soleh insyaAllah..

Dan kini bayi comel tersebut sudah menganjak ke usia setahun dalam kalender islam.

Tuesday, August 17, 2010

Ramadhan datang lagi

Sudah sekian lama rasanya tidah menjengah ke blog ini,mencoret sesuatu yang bisa menjadi ingatan..Kesibukan menghabiskan tesis secepat mungkin,ditambah kelas tutorial yang kini diberi tanggungjawab untukku uruskan, agak membataskan masa untukku mencoret sekadarnya..

Masa terus berlalu...dan kini Ramadhan tiba lagi.Setahun yang lepas,saat ini aku sedang berdebar-debar menanti kelahiran putera sulung kami.Bulan Ramadhan dibatasi dengan pergerakan yang kian membatas dek perut yang semakin membesar.Namun aku gagahkan jua untuk menyempurnakan ibadah puasa,bersolat terawih serta bertadarus bersama suami hinggalah ke saat kelahiran anak kami pada Zuhur 15 Ramadhan yang lepas.Alhamdulillah Ya Allah...Engkau berikanku kesempatan itu untuk mengisi sebaik mungkin.

Dan kini Ramadhan yang penuh mulia itu datang lagi menawarkan ganjaran yang lumayan buat hamba yang mengisinya dengan ibadah dan amalan kebajikan.Namun kali ini aku diuji dengan anak yang sedang membesar menyebabkan keterbatasan masaku untuk mengisi bulan ini sebaik mungkin.Memang itu sewajarnya tidak boleh dijadikan alasan..namun Ya Allah,aku pohon kekuatan dan waktu untukku diberi peluang mempersembahkan diri kepadaMu..

Penat,lapar,dahaga,mengantuk sering kali menguji diri ini sepanjang tempoh tarbiyah Ramadhan kali ini.Masakan tidak, penat di kampus dibawa pulang ke rumah.Rehat hanya untuk seketika waktu.Akur dengan tanggungjawab, aku perlu menguruskan juadah berbuka puasa seadanya untuk kami sekeluarga, menguruskan si kecil yang tidak mahu berlekang,menguruskan rumah yang kekadang tidak sempat diurus di awal pagi sehinggalah sering terjelepok kepenatan selepas berbuka puasa.Ya Allah...keadaanku sama sahaja dengan para isteri yang lain,berilah kekuatan kepada kami menguruskan rumahtangga,dalam masa yang sama diberi kesempatan untuk duduk bersamaMu.Jangan lekakan kami Ya Allah dengan perkara yang tidak sepatutnya...

Puasa kali ini tidak berkesempatan untuk berterawih berjemaah di surau atau masjid dek kerana waktu solat itu si kecil mula meminta mendodoikannya untuk tidur.Untuk memujuk diri tatkala merasakan diri ini kosong tanpa ibadah,aku akur dengan Hadith Nabi 'solat wanita lebih afdal di rumah berbanding di masjid'. Mungkin sudah menjadi kebiasaan sebelum ini,maka solat di masjid bagi wanita di bulan Ramdhan sudah menjadi satu adat.Namun aku bersyukur Ya Allah...masih ada ruang-ruang untukku menghabiskan waktu denganMu walaupun hanya seketika.

Aku mengharungi ibadah puasa kali ini dengan serba kekalutan.Mujur adanya suami yang sering mengerti keadaan kami sekelurga.Segaalanya dibuat dalam penuh kesederhanaan "Terima kasih abang..."

"Ya Allah...terimalah ibadatku.Sesungguhnya solatku,ibadatku,hidup dan matiku hanya untukMU.."

Wednesday, July 7, 2010

Selamat Hari Lahir Abi...

Semalam bertambah lagi usia suamiku yang dicintai.Tiada apa yang umi dan adik berikan teristimewa untuk abi melainkan hari-hari biasa yang sering kita lalui bertiga.

Asalnya kami nak main bowling semalam lepas berbuka puasa dan meraikan hari lahir abi,namun badan yang keletihan membatalkan rancangan kami.Selepas solat maghrib,kami hanya meninjau-ninjau pasaraya dan saya membelikan baju hujan sebagai hadiah yang tidak seberapa itu buat abi tercinta.

Kesian melihat hari-harinya pulang dibasahi hujan.Tidak dapat di elak lagi...pulang lewat senja bersama motor yang kian usang itu.Umi kira hadiah itu mungkin dapat melindungi abi sewaktu pulang meredah hujan.Tidak lupa juga umi bekalkan doa disetiap perjalanan moga selamat sampai ke rumah.

"Abang...
dalam banyak benda,selalu umi dilebihkan
dalam banyak keadaan,selalu umi diutamakan
dalam banyak perasaan,selalu umi menjadi pertimbangan
Jarang abang mengambil kira dengan segala kekurangan umi

Terima kasih abang...atas segala pengorbanan selama ini
Izinkan umi menjadi suri hatimu buat selamanya
Moga dapat kita berdua membina rumahtangga yang diredhai Allah
Umi akan sentiasa ada di sisi abi

Selagi hayat ini masih ada, mencintaimu hingga akhir nyawa"

Monday, June 28, 2010

Bukit Cerakah...kami datang...








"Nak gi mana pulak hujung minggu ni umi"
Tiap-tiap minggu asyik keluar je ye..."

"Kita gi Bukit Cerakah la bi.."

Hajat kami 2 minggu yang lepas tercapai jugak untuk ke sana.Pulang dari ofis suami,kami terus pula melencong ke Shah Alam.

Cuaca yang panas terik tidak menggugat rancangan kami hendak ke sana.Ini kali ketiga saya ke sana...keluar dari kereta "Ya Allah...inikah tempatnya.macam x terpelihara"

Kami mengambil train untuk meninjau kawasan sekitar yang luas dan mendamaikan itu.Lihat ni Hasif memeluk erat sambil melihat pandangan sekitar

Hanya dua tempat yang kami sempat kunjungi iaitu Empangan dan Rumah 4 musim.Kami begitu puas hati dapat merakam gambar yang indah-indah di sini.
Mungkin suatu hari nanti kami akan kembali lagi,tapi tidak lagi menaiki train...teringin nak mengayuh basikal pula.

Tunggulah hasif besar sikit ye bi...boleh naik basikal sama-sama;)

Monday, June 21, 2010

Abah...Abi...Terima kasih segalanya

"Abah...terima kasih atas segala jasa dan pengorbananmu selama ini.
Sungguh tidak termampu untukku membalas atas setiap keringatmu membesarkan kami sehingga ke tahap ini"

Abah...masih jelas dalam ingatan ini bagaimana gigihnya abah mencari sesuap nasi untuk kita sekeluarga.Mengayuh basikal dari rumah ke kem askar sememangnya perlu punyai kudrat yang kental dan luar biasa.

Mengikut cerita mak,abah pandai berjimat dan hingga saat ini kami adik beradik masih dapat menikmati bersama rezeki yang Allah limpah kurniakan kepada abah walaupun kini bergelar pesara.

Gaji abah tidak sebanyak mana...namun cukup untuk menyara kehidupan kami sekeluarga.Abah tidak pandai berhutang,membeli hanya mengikut keperluan.Begitulah cara abah membesarkan kami.Jangan mengikut orang lain...ukur baju pada diri sendiri dulu.

Hidup abah penuh kepayahan namun penuh keberkatan.Tidak pernah merungut susah,namun diusahakan jua untuk kesenangan kami sekeluarga.Masjid tidak pernah luput di ingatan walaupun kekadang datangnya kepenatan.Mungkin disinilah datangnya keberkatan buat kami sekeluarga..sentiasa cukup dengan apa yang ada.

Abah...masih segar dalam ingatan,saat abah menemani dan menghantar aku ke sana sini.Tidak ada kereta seperti orang lain...motor usang itulah yang menjadi saksi jasa abah kepadaku hinggalah saat anakmu kini dibawah tanggungjawab suami.

Tidak pernah wujud rasa malu dalam diri ini tatkala bersama abah.Terasa tenang dan bangga dibawah penjagaanmu. Aku bersyukur ya Allah menghadirkan abah yang terbaik buat diriku.Moga hidup abah sentiasa dalam lindungan dan kasih sayang Allah.

Abah...walaupun kini bukan lagi abah yang menjaga dan bertanggungjawab atas diri anakmu ini...sungguh jasa dan pengorbananmu tidak pernah terpadam.

Kekadang sukar untuk diri ini menyatakan kasih dan sayangku kepada abah yang disanjungi.Cukuplah untuk abah ketahui,mak dan abahlah yang terbaik untuk kami adik beradik.Tidak dapat dibayangkan tanpa mak dan abah tika dan saat ini.

"Ya Allah berilah kesempatan untuk kami membalas jasa ibu dan ayah kami..."

Dan kini suamiku kini bergelar abi kepada anak kecil kami Muhammad Hasif 'Ulwan.Moga dia juga akan menyanjungi abinya suatu hari nanti...mengingati jasa dan pengorbanan abi yang berusaha melengkapkan kehidupan kami sekeluarga.

"Abi...umi tak minta kehidupan keluarga kita disaluti dengan emas dan perak,cukuplah kasih sayang yang tidak bertepi untuk umi dan adik.Ingatan dari abi,butir bicara abi.gelak ketawa abi,usikan dari abi semua tu memberi kebahagiaan untuk umi dan adik.

Terima kasih abi...hanya satu pinta umi,jangan leraikan kepercayaan dan kesetiaan umi kerana syurga umi kini ada pada abi.Izinkan umi menjadi isteri dan suri yang terbaik di hati abi."

"Ya Allah...berikan kekuatan kepadaku untuk menjadi isteri yang solehah,menjadi penghibur di kala duka,menjadi penenang di saat kerungsingan,menjadi teman di kala kesunyian...

Jadikan kami suami isteri yang saling mencintai di kala dekat,saling merindui di kala jauh,saling mengingati di kala kelalaian,saling mencintai Mu Ya Allah..."