Thursday, June 3, 2010

Kepulangan yang dinanti


"Mak ngan abah pergi umrah sampai 16hb nanti"
"Apa-apa hal,mak dah selesaikan urusan untuk kamu adik beradik"

Lewat jam 1.30 pagi semalam,kami baru sampai ke rumah setelah menghantar mak dan abah ke KLIA untuk menunaikan umrah. Pertemuan sementara bersama mak dan abah masih segar dalam ingatan dengan harapan ini buka pertemuan terakhir.Kami semua sempat makan bersama sebelum menguruskan urusan checkin dan sebagainya.


Bukan tidak pernah ditinggalkan oleh mak dan abah untuk urusan umrah dan haji sebelum ini,malah ketika usia saya 3 tahun,saya pernah ditinggalkan dan duduk bersama opah.Setiap hari merenung kapal terbang apabila lalu di udara mengharap dapat melihat mak dan abah.

Kini menganjak ke usia 27 tahun,saya masih berperasaan begitu.Seperti anak kehilangan mak.Sungguhpun kini ditemani suami dan anak disisi, masih terasa kosong dan rasa ditinggalkan.Tambahan sebelum mak dan abah berangkat pergi.perbualan mak banyak berkisar pada harta dan wasiat.


Sebagai anak, tidak sedikit pun saya terlintas di fikiran kepada itu semua.Yang saya inginkan mak dan abah sentiasa ada disisi,dekat atau jauh sentiasa dalam ingatan. Saya memang manja dengan mak dari dulu hingga sekarang.Terasa rindu bila tidak dapat menjamah masakan dari air tangan mak, rindu bila lama tidak melihat raut tua mak dan pelbagai lagi.



Di saat ini terbit kerinduan kepada mak dan abah walaupun malam tadi baru bersua.Saya berdoa moga dapat bertemu dengan mak dan abah kembali.Moga segalanya dipermudahkan dan ibadat mereka diterima di sana.Pulang semula melimpahi kasih sayang kepada anaknya yang kerinduan ini.Kepulangan mereka amat dinanti

"Ya Allah...berkatilah kedua mereka,bahagiakan mereka,limpahkan rahmat dan kasihMu untuk mereka."

"Berikanlah kemampuan dan kesempatan untuk kami membalas jasa mereka dan menjadi anak yang soleh solehah buat mereka"

Amin.....

0 comments:

Post a Comment